Assalammualaikum dan Sejahtera buat Semua.

Buat semua guru-guru yang pernah mendidik saya di sepanjang tempoh pengajian di STS selama 5 tahun (1995-1999). 10 tahun sudah berlalu, memori di STS masih segar dan begitu banyak jasa sekolah ini kepada saya.

Saya tidak pasti sama ada guru-guru yang mendidik saya sewaktu musim-musim SPM tahun 1999 masih berkhidmat di STS ataupun tidak. Beberapa orang daripadanya telah berpindah ke tempat lain tetapi saya yakin ada yang masih setia di sekolah dengan cogan kata SENTIASA MAJU ini.

Salam khas dan ucapan jutaan terima kasih saya hulurkan buat guru Matematik Tambahan, Cikgu Arba'i Samingon yang garang tetapi cukup bijak mendidik, kelakar orangnya di dalam kelas;Puan Siti Hajar Hamzah, cikgu Biologi; Puan Nor Aishah Mohd Tamin yang setia mengajar saya cara berdebat dan berforum sehingga STS mara ke peringkat Kebangsaan; Cikgu Ismail Ipap, keranamu saya sedar betapa perlunya kita berani bertutur dalam bahasa Inggeris ! CIkgu, hari ini saya mengajar anak murid daripada serata dunia, budak STS pun boleh jadi pensyarah pada orang putih, hitam, kuning, Arab dan merata tempat lagi.

Ustaz Abdul Mutti, cikgu agama yang cukup berhemah dalam mendidik. Setiap kelas di akhiri dengan sessi soal jawab agama, seronok sungguh ! Cikgu Afizah mengajar saya Prinsip Akuan. Budak aliran sains ambil P.A, terus jatuh cinta dengan angka RM dan debit kredit, akhirnya saya mendapat Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Perbankan dan Kewangan pada tahun 2004.

Banyak lagi nama-nama guru yang berlegar di dalam minda ini tetapi tidaklah ketahuan sama ada mereka masih di STS ataupun tidak, semuanya banyak jasa dan pakar di bidang masing-masing. Kalian tetap Cikgu saya selamanya !

STS BOLEH, dengan kepercayaan dan semangat berterusan, tiada apa yang mustahil !

Salam rindu daripada bekas anak murid STS, Fendi (STS' 95-99)

Noor Effandi Bin Ahmad
Lecturer Faculty of Business and Law
Multimedia University
Jalan Ayer Keroh Lama
75 450 Melaka

06 Oktober 2009